Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.

"Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut," katanya kepada media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA bagi memastikan semua penjawat awam berpuas hati.
Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, Cupeacs faham akan keprihatinan Perdana Menteri dalam menuntut hak sama rata bagi semua penjawat awam supaya tidak timbul ketidakseimbangan dalam kenaikan gaji.
“Cuepacs faham apa yang kerajaan cuba lakukan, dan itu resolusi terbaik supaya penjawat awam tidak merasa tersisih dalam menerima insentif dan saraan baru kerajaan itu,” katanya.
Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi. Pagi tadi, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai isu itu.
"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Azih menambah, kajian ke atas SBPA, yang akan dijalankan melibatkan soal kenaikan gaji, antara kakitangan kumpulan rendah dan tinggi, yang mencetuskan rasa tidak puas hati.
"SBPA bukan dibatal, tetapi ditangguh bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan. Apabila selesai nanti, ia boleh dilaksanakan dengan dibayar tunggakan kepada kakitangan awam," katanya merujuk kepada tarikh pelaksanaan SBPA yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.
"Kita tidak tahu berapa lama kajian ini akan dijalankan, tetapi keputusan Kabinet ini selaras dengan pandangan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan SBPA," katanya lagi.
Cuepacs, dalam pendiriannya akhir bulan lalu, telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja sektor awam itu.
Malah katanya, Cuepacs akan mengadakan satu mesyuarat khas malam ini di ibu negara bagi membincangkan keputusan terbaru kerajaan ini.


















